Dilema Memilih Doktor Bersalin

BAGI Farah (bukan nama sebenar) apabila menerima berita gembira kehamilan anak pertama, dia dan suami merancang untuk melakukan pemeriksaan bulanan kandungannya sehingga proses bersalin dengan doktor wanita Muslim.

Memandangkan sumber kewangan mereka juga mencukupi, pasangan itu memilih hospital swasta yang mempunyai doktor pakar wanita dalam bidang

Perbidanan dan Sakit Puan (O&G).

Tujuannya bagi memastikan auratnya terpelihara daripada pandangan lelaki bukan mahram sekali gus menepati syariat Islam.

Impian Farah itu terlaksana kerana dari awal usia kandungannya sehingga dia selamat melahirkan anak, doktor wanita tersebut bertanggungjawab memeriksa dan merawat dirinya.

Berlainan pula dengan Atikah (bukan nama sebenar), memilih untuk bersalin dengan doktor lelaki kerana dia berasa lebih selesa dan tidak takut.

Bermula dari awal mengandung sehingga bersalin anak ketiga semua pemeriksaan bulanan dilakukan oleh doktor lelaki di hospital swasta.

Bagi Umairah (bukan nama sebenar), yang sedang sarat mengandung anak pertama, dia menjalankan pemeriksaan kandungannya setiap bulan di hospital kerajaan.

Jika dia dan suami mempunyai kewangan yang lebih, Umairah juga mempunyai keinginan untuk bersalin dengan doktor wanita di hospital swasta supaya auratnya terjaga.

Oleh kerana Umairah tiada pilihan, dia pasrah sama ada doktor yang bakal memeriksanya nanti lelaki atau wanita kerana apa lebih penting adalah keselamatan bayi dalam kandungan.

Tiga situasi di atas pasti pernah dialami oleh wanita-wanita yang bakal bergelar ibu ataupun mereka yang sudah selamat menimang cahaya mata.

Ironinya, sama ada doktor wanita atau lelaki yang menyambut kelahiran bayi, lebih utama naluri seorang ibu adalah melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan 10 hari itu selamat dilahirkan ke dunia.

Namun, dengan status wanita Muslim adalah menjadi keutamaan untuk mendahulukan perintah dan suruhan Allah dalam setiap tingkah laku serta urusan di dunia termasuklah dalam aspek perubatan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang suami untuk mencari doktor wanita Muslim bagi urusan pemeriksaan kandungan isterinya sehingga bersalin supaya aurat terpelihara sekali gus mendapat keredaan daripada Allah.

Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka.”

Ayat di atas melarang seorang perempuan Muslim mendedahkan perhiasan di badannya (kecuali yang zahir darinya).

Ayat ini menjadi dalil yang cukup jelas bahawa seorang wanita wajib menutup auratnya di hadapan kaum lelaki ajnabi (iaitu lelaki yang bukan suami atau mahramnya yang dikecualikan Allah).

Maksud ‘kecuali yang zahir darinya’ ialah kecuali perhiasan yang terpaksa dizahirkan atau diperlihatkan iaitu pakaian yang dipakainya di mana tidak dapat dielakkan daripada memperlihatkan kepada orang lain.

Ini juga bermaksud perhiasan-perhiasan yang berada di bahagian badannya yang diharuskan oleh syarak untuk mendedahkannya kepada orang lain iaitu bahagian muka dan tangan.

PERANAN DOKTOR WANITA MENJAGA SYARIAT ISLAM

Sebab itu penglibatan doktor wanita dalam bidang O&G adalah fardu kifayah yang dituntut dalam agama Islam. Kehadiran mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit merupakan tanggungjawab dan amanah yang bakal mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Peranan tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana golongan ini bukan sahaja ditugaskan untuk merawat pesakit malahan kehadiran mereka turut membantu wanita Islam menjaga syariat agar aurat tidak terdedah kepada bukan muhrim terutamanya semasa ingin bersalin.

Perunding O&G dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Rasliza Ramli berkata, jika wanita sedang mengandung mempunyai pilihan untuk memilih doktor bagi merawatnya adalah lebih baik jika dia menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada doktor wanita.

“Pilihan itu bukan hanya bersandarkan kepada kemampuan kewangan pasangan itu semata-mata, malahan turut melibatkan soal penjagaan aurat supaya tidak dilihat oleh lelaki bukan mahram,” katanya.

Rasliza berkata, keputusan untuk memilih doktor tersebut terpulang kepada pesakit. Namun, lebih baik semua pihak memikirkan hukum dalam Islam kerana setiap tindakan akan memberi kesan kepada diri dan zuriat yang bakal dilahirkan.

“Kalau memilih bersalin dengan doktor wanita sebab ingin menjaga aurat itulah terbaik dan dituntut dalam Islam. Namun, jika sebahagian wanita tidak kisah tentang aurat mereka, tentang hukum halal dan haram semua itu terpulang kepada diri masing-masing.

“Semua orang inginkan permulaan baik kepada zuriat mereka. Hal itu termasuklah mencari doktor wanita untuk merawat semasa mengandung sehingga proses bersalin.

“Sekurang-kurangnya apabila anak yang disambut kelahirannya oleh doktor wanita Muslim dia akan mempraktikkan syiar Islam seperti mengucapkan perkataan assalamualaikum sebagai kalimat pertama kepada bayi saat lahir ke dunia,” jelasnya.

PAKAR O&G WANITA KURANG

Dalam pada itu, Rasliza berkata, tugasan sebagai doktor pakar O&G di hospital swasta menuntut komitmen dan kesabaran tinggi berikutan pengurusan waktu serta jadual kerja yang tidak menentu.

Hal ini berbeza dengan waktu kerja yang dipraktikkan di hospital kerajaan sekali gus menjadi antara penyebab jumlah doktor pakar sakit puan wanita di hospital swasta masih berkurangan sehingga kini.

“Kecemasan boleh terjadi pada bila-bila masa. Doktor pakar perlu sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab merawat pesakit sama ada dalam waktu kerja ataupun on-call.

“Sepanjang menjalankan tugas bukan sahaja doktor perlu mempunyai komitmen tinggi malahan turut menuntut pengorbanan dan persefahaman daripada suami serta anak-anak.

“Oleh itu, tidak ramai suami sanggup memberi keizinan kepada isteri mereka untuk keluar bertugas di hospital terutamanya pada pukul dua atau tiga pagi kerana waktu seperti itu mereka sepatutnya perlu berada di rumah.

KESEDARAN MEMILIH DOKTOR WANITA

Sementara itu, menyentuh soal kesedaran wanita untuk bersalin dengan doktor wanita, Rasliza mengakui wanita yang bersalin pada hari ini terutamanya di hospital swasta mempunyai pilihan sama ada untuk memilih doktor wanita atau lelaki dalam urusan pemeriksaan kandungan mereka.

“Namun, bagi pesakit yang melakukan pemeriksaan bulanan kandungan di hospital kerajaan mereka tiada pilihan. Sama ada doktor yang merawat mereka lelaki atau perempuan, mereka perlu terima.

“Namun, tidak dinafikan ada sebahagian wanita yang bersalin di hospital swasta memilih doktor lelaki untuk merawatnya dari awal mengandung kerana beranggapan berurusan dengan doktor lelaki lebih selesa.

Hukum bersalin dengan doktor lelaki

Bergantung kepada keadaan darurat atau sebaliknya

BERSALIN dengan doktor lelaki secara tidak sengaja atau dengan rela hati perlu dilihat dalam dua perspektif iaitu situasi darurat dan tidak darurat.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, bagi situasi tidak darurat, hukumnya haram mengikut ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh Abdullah Abd. al-Rahman al-Jibrin.

Manakala Syeikh Wahbah al-Zuhayli dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi dalam satu fatwa yang dipengerusikan oleh Syeikh Ibn Baz memutuskan bahawa doktor lelaki tidak diharuskan menguruskan perbidanan wanita.

“Walau bagaimanapun, dalam situasi darurat, iaitu apabila rawatan tersebut memang memerlukan kepakaran daripada doktor lelaki dan tiada doktor wanita yang boleh menjalankan tugas tersebut, hukumnya ialah harus.

Nik Salida Suhaila berkata, melihat kepada situasi semasa, sudah banyak hospital swasta yang mempunyai doktor pakar wanita dalam bidang sakit puan dan boleh membidani wanita yang bersalin.

“Justeru, bagi wanita yang mampu, mereka harus memilih untuk bersalin di hospital swasta dengan doktor wanita. Namun, jika tidak mampu, tidak mengapa jika tidak memilih untuk bersalin di hospital tersebut, kerana situasi ini boleh dikatakan darurat kepada mereka.
“ Jika mampu, memilih untuk bersalin di hospital swasta tetapi memilih doktor lelaki, ia kembali kepada jawapan di atas, iaitu situasi tidak darurat yang menyebabkan hukumnya haram atau tidak harus mengikut pandangan ulama.

“Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, bahawa tidak logik lagi pada hari ini sekiranya tugasan untuk menyambut kelahiran bayi tidak boleh diberikan kepada doktor wanita sepenuhnya kerana pada masa ini jumlah doktor wanita di bahagian perbidanan sudah ramai,” katanya.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga