Sabar Penawar Selesai Masalah

IMAM al-Ghazali dalam kitab al-Arba’in fi Usul al-Din menyatakan “Bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama ketika melawan keinginan hawa nafsu.”

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah. Perkataan sabar sering diungkap dalam pelbagai situasi kurang menyenangkan menimpa seseorang. Menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.

Memandangkan senario masa kini memerlukan kesabaran yang tinggi bagi kebanyakan orang, maka Usrah Nurani yang bersiaran pada jam 5.15 petang Jumaat lalu berkongsi pandangan tentang sifat sabar ini. Ustaz Shahrizan Daud at-Turabi yang bertindak selaku naqib menyifatkan perkataan sabar terlalu mudah untuk diluahkan.

Ketahanan aras tinggi Ia mudah disebut di bibir tanpa menghadirkan rasa simpati yang tinggi dalam hati. Tanpa disedari, sabar sebenarnya suatu sifat yang menuntut kepada mujahadah dan ketahanan pada aras tinggi. Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran. Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu bisa menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Dalam mengadun resipi untuk istiqamah dalam bersabar, rakan usrah di konti iaitu Dr Ahmad Faudzi Muharriri dan Farah Asyikin juga berkongsi pengalaman dan idea mereka. Ketika berjaya melepasi cabaran sabar untuk bersabar, ia akan melahirkan kepuasan kepada diri, di samping mampu menjadi inspirasi kepada yang lain bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil untuk ditempuhi. Sabar sangat hampir dengan keimanan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Sesungguhnya, sabar itu akan membawa diri mendekati Allah SWT. Tidak dinafikan, majoriti manusia mampu bersabar pada peringkat awal berlaku sesuatu musibah. Ada juga golongan yang tidak sabar pada permulaan, tetapi selepas diingat-ingatkan berkenaan sabar akhirnya individu itu menzahirkan perasaan sabarnya.

Namun, ada segelintir yang bersabar dari permulaan, tetapi gagal untuk mengekalkan sabar hingga ke penghujung. Konsep sabar terbahagi kepada beberapa konsep.

Pertama adalah sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT seperti firman-Nya mafhumnya, “Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa.” (Surah Toha, ayat 132).

Menahan diri agar tetap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah sebahagian daripada suruhan Allah SWT. Belajar untuk kekal bersabar kerana Allah telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya dengan baik sesuai syariat yang telah Allah SWT turunkan. Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah, dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti yang telah termaktub dalam al-Quran maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45).

Selain itu, perlu juga sabar kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan mudah untuk bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan. Sabda Nabi SAW bermaksud, “Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat” (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan kebiasaannya berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar. Sering kali individu yang cuba berubah kepada kebaikan akan menerima kata-kata sinis, cemuhan dan fitnah yang boleh menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan dan perubahan dilakukan. Sesungguhnya, semua itu adalah godaan dan mainan syaitan untuk mematahkan semangat berjuang dalam meninggalkan kemaksiatan. Sebagai umat Islam harus bersabar pada setiap larangan yang digariskan oleh Allah SWT. Perlu wujudkan keyakinan bahawa semua larangan itu ada hikmah tersembunyi.

Iman tinggi kawal diri buat, ulangi dosa

Menerusi keimanan yang tinggi kepada Allah maka akan lahir sifat sabar yang akan mengawal diri daripada berbuat atau mengulangi dosa. Akhir sekali adalah bersabar terhadap perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Contohnya, jika ditentukan lahir dalam keadaan fizikal yang berbeza daripada yang sepatutnya, maka bersabarlah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: jika hambaku diuji dengan kedua-dua matanya dan dia bersabar, maka Aku akan mengganti kedua matanya dengan syurga” (HR Bukhari). 

Selain itu, Allah SWT juga berfirman, “Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun, ayat 15).

Justeru, harta benda dan anak-pinak juga adalah ujian. Jika tidak hadir sabar, maka akan lahir sifat bakhil terhadap harta dimiliki. Ujian anak pula datang saat mereka jauh daripada syariat Islam. Ia akan mencabar kesabaran untuk mengatur dan membentuk keluarga dan anak untuk kembali kepada-Nya. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar. Allah SWT menyebut bahawa orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripadanya. Oleh itu, setiap orang mesti bersabar dalam menghadapi segala cabaran hidup. Janji dan jaminan Allah SWT kepada orang yang bersabar adalah bukti kebaikan yang tidak ada tolok-banding dan tidak akan dipersiakan.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga