Hadis Pertama Bab setiap amal menurut niat

عَنْ عُمَرَ بْنِ الخَطَابِ قًالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
فَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ
وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنَّيَا يُصِيْبُهَا أَوِمْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهَجْرَتُهُ إِلَى مَا هَا جَرَإِلَيْهِ

Dari Umar bin Khattab r.a. katanya :
"Rasulullah s.a.w. bersabda : "Amal itu hanya dengan niat,
Setiap orang hanya memperoleh menurut apa yang diniatkan.
Sesiapa yang ada niat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya,
maka hijrahnya memperoleh (pahala hijran) kerana Allah dan RasulNya
Dan barang siapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak
dicapainya atau wanita yang hendak dikahwininya, maka
hijrahnya (mendapat balasan) menurut tujuan hijrahnya".
Hadis sahih riwayat Muslim

Huraian

Hadis ini membicarakan tentang persoalan niat dalam melakukan amalan-amalan.

Niat dari sudut bahasa bermaksud mensasarkan sesuatu perbuatan atau hasrat untuk melakukan sesuatu tindakan. Dari sudut Syara` ia bermaksud berhasrat melakukan sesuatu serta diringi dengan perlakuan.

Tujuan berniat terbahagi pada dua. Pertamanya; bertujuan membezakan status antara amalan. Ia pula terbahagi dua. Pertamanya niat yang bertujuan membezakan antara amalan adat dan amalan ibadat. Contohnya untuk membezakan antara perbuatan mandi keranan adat kebiasaan harian di awal pagi atau kerana mengangkat hadas besar. Kedua, niat yang bertujuan membezakan antara amalan wajib dan sunat. Misalnya perbuatan memberi harta kepada orang miskin. Adakah ia kerana bayaran zakat atau kerana sedekah yang sunat. Niat akan membezakan status amalan kedua-duanya.

Keduanya, niat yang bertujuan membezakan untuk siapa seseorang itu beramal. Niat inilah yang diberikan contoh oleh baginda dalam hadis. Adakah seseorang itu berhijrah kerana Allah? Atau kerana berhasrat mendapatkan habuan dunia? Atau kerana seorang perempuan?

Sebaik penghijrahan Nabi saw ini, semua orang Islam yang berada di Mekah diwajibkan berhijrah ke Madinah keranan Madinah telah menjadi negeri Islam dan Mekah pula adalah negeri kufur. Orang Islam wajib berhijrah dari negeri kufur yang memerangi Islam dan tidak membenarkan penganutnya beraqidah dan beramal dengan Islam. Justeru itu, para sahabat mula keluar berhijrah ke Madinah secara beramai-ramai. Tetapi apakah niat mereka ketika berhijrah?Niat adalah amalan di dalam hati. Tiada siapa yang mengetahuinya. Justeru niat hijrah hanya diketahui oleh Allah. Sekiranya seseorang itu berhijrah dengan hasrat dan niat menuju redha Allah maka hukumnya di sisi Allah ialah hijrah itu adalah hijrah menuju kepada Allah dan RasulNya. Sebaliknya jika keranna dunia atau perempuan maka hijrahnya tidak mendapat pahala.

Dunia mempunyai dua maksud. Pertamanya amalan dunia yang harus seperti mengumpul harta dan berkahwin. Keduanya amalan dunia yang haram seperti mengumpul harta dengan cara haram dan berkahwin dengan mahram sendiri. Amalan dunia yang harus tidak dicela. Ia diharuskan dengan maksud tidak dikira pahala atau dosa. Namun, amalan dunia yang harus boleh bertukar menjadi sunat atau haram dengan niat. Umpamanya mengumpul harta dengan niat membina masjid untuk umat Islam, maka hukumnya adalah sunat. Sekiranya diniatkan untuk membeli barang-barang haram maka hukumnya adalah haram.

Hijrah ke Madinah adalah amalan yang wajib. Sesiapa yang berhijrah terlepaslah dosanya. Adapun persoalan pahala, ia bergantung kepada niat. Sekiranya dilakukan kerana Allah pasti diberi pahala. Sebaliknya jika dilakukan dengan tujuan mendapat habuan dunia yang harus, maka pahalanya tidak akan diperolehi.Ini kerana syarat mendapat pahala ialah sesuatu amalan dilakukan kerana Allah. Oleh kerana ia dilakukan kerana Allah, wajarlah bagi Allah memberi ganjarannya di Akhirat. Tetapi jika dilakukan untuk mendapat habuan dan ganjaran serta imbalan dunia semata-mata maka tentu tidak wajar menuntut ganjaran pahalanya daripada Allah

Tiada ulasan:

Syifa'ul Qalbi

Listen to Quran

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga