Niat Penentu Keberkatan Kerja

Pekerjaan bukan sekadar bagi memenuhi keperluan hidup semata-mata tetapi ia mestilah selari dengan syariat supaya rezeki yang diterima diberkati Allah SWT. Ikuti kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah.

“Allah berfirman lagi: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka mereka (pintu rezeki) yang melimpah ruah keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raaf, ayat 96)

Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi mempunyai kaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati. 

Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu, dalam program Islam Itu Indah memberi kesempatan kepada pendengar untuk memahami makna sebenar di sebalik perkataan berkat, terutama menerusi pekerjaan yang majoriti individu dewasa akan memperuntukkan satu pertiga daripada hari dengan aktiviti tersebut.

Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam kehidupan dengan iman dan takwa. Menyorot kaedah mencapai keberkatan iaitu iman dan takwa, ulama mentakrifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Takwa pula memberi makna berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan takwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada dan di situ juga letaknya hati.

Panduan melunaskan pekerjaan dengan iman dan takwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki bagi membiayai keluarga, untuk memberi kebaikan, menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya di manakah Allah SWT dalam ketiga-tiga niat tersebut? Bekerja bukan sekadar mencari rezeki, tetapi untuk mencari rezeki halal yang sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Rasulullah menegaskan juga dalam sabdanya: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). 

Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal berkait dengan Allah SWT. Apabila kerja diniatkan untuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannya di sisi Allah SWT. Tetapkan niat sebelum mula kerja Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” 

Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah dan seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firman-Nya: “Demi bintang ketika terbenam. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru. Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah al-Najm, ayat 1 hingga 4).

Dari sudut takwa pula, penting bagi pekerja menghindar perkara haram seperti curi masa, curi tulang, mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas takwa, perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif, efisien dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan).” (Riwayat al-Baihaqi)

Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam an-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan takwa yang terjelma dalam pelaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah SWT berfirman mafhum-Nya: “Maha Suci Allah SWT, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi Surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu Nabi Isa yang akan menjadi ‘berita gembira’ buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah SWT menegaskan al-Quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-Quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa seperti keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah SWT letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu. 

Kelebihan berkat Hikmah Allah SWT meletakkan barakah pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah SWT meletakkan kebaikan untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan berkat yang ada pada makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah SWT yang memberi berkat. 

Berkat itu tidak ketara pada mata, tapi dapat dirasa, tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan dan kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan, kerja yang dilakukan lebih puas daripada kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga