7 Persiapan Sebelum Datangnya Kematian

Amal jariah bekalan akhirat

Merancang kehidupan yang baik di akhirat menerusi tujuh perkara dihuraikan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra.

Setiap hari manusia mengadakan perancangan dan melakukan banyak perkara bagi memastikan kehidupan di dunia sentiasa dalam keadaan terbaik. Aktviti seperti pelaburan kewangan, simpanan jangka pendek dan jangka panjang serta membeli insurans antara pengurusan kehidupan di dunia. Sebagai Muslim, kita meyakini terdapat kehidupan akhirat yang abadi. Justeru, seseorang Muslim yang bijak akan turut membuat perancangan bagi kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya.

Mari kita renungkan adakah kita membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh? Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah diri dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah Taala (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm minggu ini bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin, membawa kita kepada peringatan mengenai pentingnya membuat perancangan untuk kehidupan akhirat dalam tajuk ‘Uruskan Akhirat’.

Terdapat tujuh perkara yang perlu diusahakan dan diselesaikan sebelum kita kembali kepada Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa. Rukun Iman Mendahului senarai adalah Rukun Iman. Muslim yang sebenar perlu sentiasa meyakini keesaan Allah SWT dan memastikan tiada keraguan ke atas semua rukun imannya. Kita perlu waspada kerana syaitan akan sentiasa membuatkan hati manusia itu was-was dengan iman dan menimbulkan prasangka di hati manusia. Jika berlaku gangguan, mohon perlindungan daripada syaitan dengan ucapan ‘audzubillahi minasyaitan nirrajim’.

Berusaha untuk memahami sedalam-dalamnya dan memeriksa keyakinan kita terhadap kalimah ‘Lailahailallah’ bahawasanya Tiada Yang Berkuasa atas segala sesuatu kecuali Allah SWT.

Perkara yang kedua adalah memastikan kita melaksanakan semua Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, membayar zakat dan membuat pendaftaran bagi mengerjakan ibadah haji. Menyentuh berkenaan Rukun Islam yang memerintahkan umat Islam solat lima waktu sehari semalam, Rasulullah SAW bersabda: “Solat adalah amalan yang pertama disemak pada Hari Akhirat nanti. Jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Ramai yang solat, tetapi mungkin tak ramai yang berupaya memperoleh khusyuk. Ada yang ketika solat fikirannya menerawang liar dan tidak memberi perhatian kepada solatnya. Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah. Disebut Ustaz Muhamad, serendah-rendah khusyuk adalah menyedari diri sedang solat, manakala setinggi-tinggi khusyuk ditunjukkan sahabat Rasulullah yang minta dibedah ketika solat kerana kuatnya khusyuk hingga tidak berasa sakit. Jadi berusahalah mencapai solat terbaik agar akhirat nanti ia menjadi penyelamat utama daripada azab.

Yang keempat adalah berusaha meninggalkan perkara khurafat yang haram dari sudut akidah dan akhlak. Khurafat antara bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah. Ada antara amalan yang secara sedar atau tidak adalah haram dilakukan. Terdapat pelbagai bentuk perkara khurafat yang menjadi amalan sebati yang diamalkan masyarakat Melayu Islam di negara ini. Antaranya adalah kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, batu, tongkat, ramalan bintang, adat mandi safar atau adat mandi membuang sial. Ada juga kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan petani masa lampau, percaya kepada petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya. Pada zaman moden yang mana ilmu itu mudah diperoleh sepatutnya amalan seperti ini sudah tidak lagi diamalkan.

Perkara kelima disebut Ustaz Muhamad adalah masalah hutang. Dari Abi Hurairah RA katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.” (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Amalan tulis wasiat Beliau mengingatkan agar kita menjadikan amalan menulis surat wasiat dan menyenaraikan semua hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang dan menyerahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah. Ini supaya sekiranya kematian datang mengejut urusan hutang piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya rohnya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan tenang. Menulis hutang adalah penting bagi seorang Muslim. Ia bukan sahaja mengingatkan si pemiutang akan tanggungjawab dan komitmennya ketika hidup, tetapi juga sebagai makluman dan tindakan kepada waris apabila kita sudah tiada.

Perkara keenam adalah menyempurnakan taubat. Taubat adalah penyesalan. Adakah kita selalu melakukan muhasabah dan menyatakan taubat dengan istighfar terhadap Allah SWT. Renungkan juga adakah lafaz istighfar itu benar-benar ikhlas atau sekadar kebiasaan. Jika kebiasaan ia menjadi zikir sahaja, tetapi sekiranya ucapan istighfar itu disertai penyesalan, insya-Allah ia akan menjadi penghapus dosa dan kesalahan yang diharapkan mampu menyelamatkan akhirat kita.

Akhirnya, perkara ketujuh adalah membuat amalan yang kekal pahalanya hingga selepas kematian. Apabila mati anak Adam terputuslah kepadanya pahala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang disampaikan dan anak salih yang mendoakan. Justeru, bagi mendapatkan pahala berterusan, carilah dan usahakan amalan yang boleh terus membantu kita mendapat kebaikan di akhirat. Antara sedekah jariah yang boleh diusahakan adalah harta yang diwakafkan termasuk tanah, rumah dan kebun untuk dimanfaatkan orang lain. Semoga dengan melaksanakan amalan yang baik dan dianjurkan Islam yang dinyatakan akan memberikan kita peluang mendapat husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga