4 Peringkat Didik Anak

ANAK anugerah Yang Esa. Ia adalah amanah ALLAH SWT kepada kita yang perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaiknya.  Anak perlu dididik atas alasan amanah kepada pencipta bukannya atas alasan anugerah. Anak bukan hak kita tetapi hak Yang Maha Kuasa.

Anak lahir ibarat kain putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat dan cela.  Ibu bapa perlu mencorakkan dan mewarnakannya dengan corak dan warna sepatutnya. Cantik corak dan warna di kain tersebut maka besarlah anak itu dengan akhlak yang baik.

Sebaliknya jika buruk corak dan warna di kain putih itu maka lahirlah anak-anak yang bakal menghadapi pelbagai masalah menyebabkan mereka lupa akan penciptanya.

Fitrah ialah suci iaitu lawan kepada kufur dan ingkar kepada ALLAH.  Selepas dilahirkan barulah kedua ibu bapa mewarnakan anak itu dan menjadikannya apa yang sepatutnya.

Sejak kebelakangan ini, banyak cerita remaja yang kurang enak didengari terpampang di dada akhbar dan media massa. Pelbagai aktiviti yang tidak sihat dilakukan mereka dan pelbagai akhlak yang tidak baik dipertontonkan mereka. Mereka dihukum masyarakat dengan pelbagai tohmahan tetapi jika difikirkan kembali adakah mereka yang perlu dipersalahkan? Sedangkan yang mewarnakan mereka ialah kedua ibu bapanya.

Seorang anak remaja bercerita, semasa kecil dia menunggang motosikal bersama bapanya. Ketika itu bapanya menghisap rokok dan dia berada di belakang bapanya.  Asap rokok tersebut terkena pada mukanya dan sejak peristiwa itu, terdetik di hatinya ingin merokok.

Ketika berusia 12 tahun remaja itu mula berjinak-jinak dengan rokok.

Berdasarkan cerita ini, bukankah si bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak ini untuk tidak merokok? Itu baru rokok, bagaimana pula jika si bapa itu penagih dadah?  Ada kemungkinan si anak boleh terlibat dengan penyalahgunaan dadah.  Hal ini memang terjadi dalam masyarakat kita.  Si bapa menghisap dadah di rumah menyebabkan anak itu ingin mencuba.  Lalu diambilnya dadah tersebut tanpa pengetahuan bapanya dan dicubanya.  Salah siapa? Si anak yang masih mentah atau si bapa yang bermasalah?  Hal ini dikatakan bapa ‘membunuh’ atau pun  ‘derhaka kepada anak’.

Diheretnya sekali si anak ke dalam kancah masalahnya.  Di’bunuhnya’ si anak dengan menonjolkan akhlak tidak sepatutnya.

Apa yang kita lihat dewasa ini dengan masalah kegawatan ekonomi, ibu bapa terutamanya daripada golongan pertengahan dan ke bawah begitu sibuk bekerja untuk menampung kehidupan keluarga.   Keduanya bekerja.  Keluar awal pagi dan pulang lewat malam.  Anak di rumah membawa haluan masing-masing kerana tiada pemantauan.  Mereka bosan berada di rumah lalu keluar berpelesiran bersama rakannya.

Daripada situ bermulalah segala kegiatan yang tidak sihat seperti merokok, merempit, melepak, mencuri, meragut, menonton video lucah, seks bebas dan pelbagai perbuatan yang tidak bermoral. Mereka tidak betah duduk di rumah walaupun waktu malam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menelaah pelajaran, sebaliknya digunakan untuk berpelesiran dengan teman.

Ada juga kalangan ibu bapa tidak ambil peduli sikap anak remaja ini.  Tidak dipeduli anak itu ke mana, dengan siapa dia keluar dan pukul berapa dia pulang.  Anak diberi kebebasan sepenuhnya.   Sesibuk mana pun mencari rezeki, anak perlu diutamakan.  Walaupun anak-anak ini boleh mengurus diri sendiri namun mereka tetap perlu dipantau, ditanya khabar, dididik, ditunjuk ajar dan yang paling penting sekali ialah disayangi.

Memang tidak dapat disangkalkan lagi, pendidikan agama dapat membendung remaja daripada terjerumus ke aktiviti yang tidak sihat.  Memang betul di sekolah terdapat subjek pendidikan agama Islam dan pendidikan moral tetapi tidak adil jika pendidikan agama anak-anak kita dilepaskan kepada ustaz, ustazah dan guru di sekolah.

Bukankah kita sebagai ibu bapa perlu mencorakkan anak dan juga memegang amanah daripada Yang Esa dalam mendidik anak-anak? Perkara ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak mendapat pendidikan agama sepatutnya.  Akibat kealpaan sesetengah ibu bapa, ramai remaja kita tidak tahu ibadat solat dengan betul.

Pernah ada beberapa remaja mengadu mereka tidak tahu membaca bacaan dalam solat.  Hal ini kerana ibu bapa mereka langsung tidak menghiraukan perihal ibadat solat anak.Jika amalan solat tidak diamalkan, jiwa seseorang itu kosong dan menggamit si anak ke kancah tidak bermoral.

Dalam mendidik anak, Rasulullah SAW ialah insan sepatutnya menjadi ikutan ibu bapa. Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan suri teladan untuk diteladani.

Terdapat empat peringkat mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW:

Peringkat pertama iaitu ketika anak-anak berusia 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang tidak berbatas.

Peringkat kedua iaitu ketika anak berusia 7-14 tahun.  Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak.

Peringkat ketiga, ketika anak berusia 15-21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak dengan menjadi kawan. Banyakkan berborak dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain.

Peringkat keempat iaitu ketika anak berusia 21 tahun dan ke atas. Inilah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak dengan membuat keputusan mereka sendiri.

Remaja memerlukan ibu bapa dalam setiap aspek kehidupan.  Ketika masih kecil, ibulah yang akan menjadi tempat anak bermanja-manjaan dan mengadu cerita tetapi di kala anak memasuki alam remaja, bapa yang sepatutnya menjadi insan yang rapat kepada anak-anak ini terutamanya anak lelaki yang memerlukan bapa sebagai teladan.

Baik bapa, baiklah anak, bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintik.’  Oleh itu wahai bapa, tepuk dada, tanya iman, anak macam mana yang mereka inginkan.  Jika inginkan anak berakhlak mulia, maka bapa perlulah berakhlak mulia.

Ibu bapa punca anak lakukan kesalahan

PERKELAHIAN dan perdamaian yang berlaku dalam kehidupan seharian kanak-kanak adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka.

Bergaduh dan berkelahi adalah sebahagian asam garam kehidupan anak. Sama ada anak lelaki atau perempuan, perselisihan pasti berlaku membabitkan adik-beradik dan rakan. Berbeza pandangan dan kemahuan adalah fitrah semula jadi manusia. Justeru, apabila jaringan sosial anak semakin lebar, mereka menemui rakan baharu yang berlainan asuhan dan didikan.

Pengenalan baharu ada kala berjalan dengan harmoni, tetapi sering juga berlaku perdebatan dan perselisihan, hatta pada isu paling remeh sekali pun. Pergaduhan adalah satu juzuk daripada proses pembelajaran anak dalam berinteraksi dengan masyarakat yang lebih terbuka. Ini berbeza dengan ‘masyarakat tertutup’ yang bersamanya di rumah.

Ibu, bapa atau orang dewasa menjadi pemerhati tetap aktiviti anak di rumah hingga tidak memungkinkan anak melakukan kesalahan. Sekali pun ada kesilapan yang dilakukan, ibu bapa sentiasa ada bagi membetulkan kesalahan mereka. Kerana itu, tiada anak yang sanggup melakukan kesalahan di hadapan ibu bapanya. Masyarakat terbuka di luar sana seperti di sekolah, sebaliknya memberikan mereka ruang seluas-luasnya untuk menunjukkan sikap sebenar. Pergaulan dengan rakan baharu pula menimbulkan konflik berbeza yang boleh sahaja mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Sekali pun pergeseran acap berlaku dalam masyarakat kanak-kanak ini, tetapi fitrah anak yang masih bersih daripada perasaan dendam dan dengki, ia boleh dilupakan dalam masa singkat.

Kita biasa melihat kanak-kanak bertumbuk pada waktu paginya, tetapi boleh bermain bola sepak bersamapada sebelah petang. Naluri kanak-kanak bersih Maha Suci Allah SWT menjadikan naluri kanak-kanak bersih daripada hasad. Perkelahian dan perdamaian berlaku dalam masa pantas adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka. Perkembangan itu akan terbantut apabila konflik anak mendapat campur tangan orang dewasa, terutama ibu bapa.

Dalam satu kes buli, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah memukul pelajar lain berusia 11 tahun. Kes ini menjadi serius kerana membabitkan seorang pelajar dewasa dengan kanak-kanak yang fizikalnya jauh lebih kecil. Malah, kesan daripada serangan ini menyebabkan mangsa terpaksa dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lelah dan trauma. Memandangkan kesalahan yang serius, pihak sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada pelajar berkenaan. Menariknya, apabila kes ini dibawa kepada bapa pelajar, reaksinya sangat mengejutkan. Si ayah tidak langsung memarahi anaknya yang baharu sahaja mencederakan seorang budak. Sebaliknya dia mencari kesalahan pihak sekolah dalam menangani kes anaknya. Paling parah apabila dia memarahi mudir sekolah di hadapan anaknya seolah-olah anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan. Kesalahan paling besar ibu bapa dalam menangani masalah anak-anak ialah anggapan bahawa anaknya tidak mungkin melakukan kesalahan. Rentetan daripada anggapan itu, setiap pelanggaran undang-undang atau perbalahan yang berlaku, ibu bapa akan segera meletakkan kesalahan kepada orang lain. Ayah bela anak Kesan paling besar diterima oleh anak yang melakukan kesalahan ialah walaupun melakukan kesalahan besar, dia tetap dibela oleh ayahnya. Lalu anak itu tidak akan serik dan pasti mengulanginya pada masa akan datang dengan kes lebih serius.

Menerima hakikat anak mereka bersalah, ia secara langsung membuka ruang bagi memikirkan bagaimana mahu menanganinya supaya tidak berulang. Ia juga dengan segera menutup ruang untuk ibu bapa mencari kesalahan pihak lain. Kebiasaan ibu bapa apabila diberitahu mengenai kesalahan anak, pasti mereka melenting dan menafikannya kerana beranggapan tuduhan terhadap anak seolah-olah mendakwa mereka sebagai ibu bapa tidak pandai menjaga serta mendidik anak hingga melakukan kesalahan seperti itu. Ibu bapa yang membela anak sebenarnya sedang mempertahankan ego mereka sendiri. Mereka lebih mementingkan reputasi dan keegoan daripada membimbing anak memperbaiki kesilapan. Bagaimanapun, kesannya dirasai oleh anak yang tidak berasa bersalah dan besar kepala. Silap pamer kasih sayang bunuh akhlak anak Kasih sayang ibu bapa kepada anak adalah fitrah yang tidak dapat dialihkan. Namun kesilapan mempamerkan kasih sayang menjadi racun yang membunuh mentaliti dan akhlak anak.

Dalam banyak kes, apabila anak melakukan kesalahan, ibu bapa tidak sanggup melihat anak menerima hukuman. Lalu ibu bapa akan merayu guru atau pihak berkuasa memaafkan anak. Lebih parah, mereka menawarkan diri menanggung kesalahan anak. Dalam tidak sedar mereka sebenarnya sedang membina tembok ketidakbertanggungjawaban dalam diri anak. Demi melihat anak membesar menjadi individu bertanggungjawab dalam masyarakat, biarkan mereka menanggung kesalahan yang dilakukan. Ajarkan mereka bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan mempunyai sebab dan akibatnya. Dalam konflik yang berlaku antara anak dan rakannya, secara refleks ibu bapa akan cuba menenangkan anak. Namun salahnya ialah apabila ibu bapa memburuk-burukkan rakannya itu hingga dia beranggapan tindakannya bergaduh adalah benar. Pujukan seperti itu walaupun bertujuan menenangkan anak, tetapi sebenarnya memberikan implikasi negatif kepadanya. Anak akan berasa tidak bersalah kerana tindakannya dijusfikasikan dengan sikap rakannya yang kononnya memang jahat. Anak yang suci jiwa mereka tidak menyimpan dendam apabila berselisih faham dengan rakan walaupun menyebabkan pergaduhan. Fitrah mereka menyebabkan hubungan persahabatan antara rakan tidak terputus begitu sahaja lantaran salah faham. Keadaan ini berbeza dengan sikap orang dewasa yang jiwa mereka sudah dicemari perasaan ego dan dendam.

Justeru, menjadi kesalahan ibu bapa apabila mencampuri pergaduhan anak dengan rakan dan meletakkan kesalahan pada bahu ibu bapa lain. Sikap sebahagian ibu bapa yang gemar menyerang dan menyalahkan ibu bapa lain atas kesalahan anak mereka menyebabkan permusuhan antara dua keluarga. Sebaiknya ibu bapa tidak terlalu membesarkan pergaduhan yang berlaku antara anak mereka dengan rakannya. Jika dirasakan perlu, berjumpa ibu bapa rakan anak yang bergaduh itu dalam keadaan harmoni dan tidak saling menuding jari. Jadikan ini peluang berkenalan dengan keluarga rakan anak dan kemesraan antara kedua-dua keluarga ini diharap dapat merapatkan hubungan persahabatan anak.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga