2 Hak Anak Wajib Ditunai

IBU bapa memberikan kasih sayang dan memastikan masa depan anak terjamin.

Rancangan Pesona D’Zahra minggu ini membicarakan tajuk amat dekat dengan kita semua yang berada dalam sesebuah institusi keluarga iaitu, hak anak.

Perkongsian kali ini dibawakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr Nik Roskiman Abdul Samad. Berkenaan tajuk ini, ada sebuah kisah ketika Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab menjadi khalifah yang mana suatu hari seorang lelaki datang berjumpa dengannya mengadu perihal anaknya yang didakwa derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Beliau mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya. Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya.

Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anaknya yang bakal lahir ke dunia. “Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran.” Mendengar demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak dilaksanakan oleh ayahku. Ibuku daripada orang Majusi yang menyembah api. Namaku nama yang tidak baik dan aku tidak diajar membaca al-Quran.”

Khalifah Umar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu derhaka kepadamu? Ternyata engkau derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepadamu. Engkau berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu.” Anak rezeki daripada Allah Anak adalah rezeki daripada Allah SWT.

Pasangan yang dikurniakan zuriat mestilah bersyukur atas rezeki kurniaan Allah itu. Di antara bentuk rasa syukur adalah memperhatikan hak anak. Ibu bapa yang menunaikan hak anaknya akan melahirkan anak yang taat kepada orang tuanya dan terbentuklah watak anak salih yang menjadi tonggak pemimpin agama, bangsa dan negara. Islam mengajar manusia dalam seluruh aspek kehidupan. Mengikut Islam, peranan ibu bapa amat besar. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas masa hadapan anak. Mereka bertanggungjawab memperkenalkan kepada anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan dalam menunaikan tanggungjawab.

Dalam sebuah hadis disebut: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi”. Fitrah di sini bermaksud Islam. Oleh itu, setiap anak dilahirkan sebagai seorang Muslim, maka ibu bapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak itu kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak itu tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran negatif dan boleh menjejaskan fitrah imannya. Dalam sebuah hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak”. (Riwayat Muslim).

Disebutkan dalam perkongsian minggu ini, Dr Nik Roskiman menjelaskan, Islam mengajarkan hak anak yang harus dipenuhi oleh kedua orang tuanya. Di antara hak anak dalam Islam adalah sebagai berikut: Memilih ibu yang baik Sebelum anak dilahirkan lagi, Islam menetapkan bahawa hak seorang anak ialah memiliki ibu yang baik. Hak ini jarang disedari oleh kita kerana menyangka bahawa hak anak itu bermula sejak hari kelahirannya, bahkan sebaliknya ia sebenarnya bermula sebelum mereka lahir lagi. Justeru, seorang yang akan berkahwin harus mengambil perhatian dengan siapa dia akan melayari kehidupannya.

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya yang ingin berkahwin untuk memilih wanita yang salihah dan beragama. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang wanita dinikahi dengan empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama.” Utama agama dalam memilih pasangan

Begitu juga bagi seorang wanita, dalam memilih suami hendaklah mengutamakan yang beragama sehingga ada riwayat yang menyebut bahawa “apabila kamu didatangi lelaki yang kuat agama dan baik akhlaknya berhasrat meminang anakmu, maka terimalah pinangannya. Jika tidak, nescaya akan berleluasalah fitnah”. Berdoa ketika mendatangi isteri Begitu juga hak kedua yang kita sering juga abaikan iaitu membaca doa ketika mendatangi isterinya, yang mana dalam Sahih Bukhari disebutkan mafhumnya, 

“Seandainya seseorang di antara kalian ketika mendatangi isterinya membaca, ‘Bismillah allahumma jannibnasy-syaithan wa jannibisy-syaithan ma razaqtana’ (Dengan nama Allah. Ya Allah, Jauhkanlah setan dari kami dan jauhkanlah setan dari apa yang Engkau rezkikan kepada kami).

Doa ini penting agar anak yang bakal terhasil itu daripada hubungan kita itu dari awal lagi terbebas daripada gangguan syaitan. Ibu bapa kadangkala alpa, gelojoh dan mengabaikan doa ini, dan tidak menganggap doa ini sebenarnya adalah hak anak yang perlu kita tunaikan agar anak terselamat daripada gangguan syaitan. Kedua-dua hak ini sering kali diabaikan ibu bapa sedangkan ia juga termasuk dalam hak anak yang wajib kita tunaikan. Adapun hak lain seperti memberi nafkah, pendidikan dan lain-lain pada kebiasaannya ditunaikan baik oleh ibu bapa. Marilah sama-sama kita memastikan dua hak yang sering diabaikan ini dapat ditunaikan agar kita tidak menyesal pada Hari Akhirat kelak kerana tuntutan daripada anak.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga