Drama Halalkan Perkara Haram

Mendedahkan aurat haram di sisi Islam. Sentuhan untuk menunjukkan kasih sayang atau melakonkan watak di kalangan bukan mahram juga haram di sisi Islam.

Ia pula seolah-olah diraikan dalam industri hiburan sehingga ada yang MENGHARUSKAN pembukaan aurat dan bersentuhan lelaki perempuan dalam nyanyian atau lakonan atas dua alasan iaitu menyampaikan mesej dan pengajaran dengan lebih berkesan juga mencari rezeki.

Malah, ada ‘ustaz’ menghalalkan segala perbuatan mereka itu dalam keadaan sekarang dengan mengkategorikannya sebagai darurat kerana: 

a. Sukar untuk memproduksikan karya hiburan yang Islamik kerana tenaga kerja seperti penulis skrip yang berbakat, pengarah, pelakon atau penyanyi malah penerbit yang sudi memproduksikan karya Islam masih belum wujud. Maka hukumnya sama seperti berurusan di bank konvensional ketika masih belum ada bank Islam.

b. Sukar untuk mendapat perhatian awam jika karya itu tidak ditayangkan perbuatan haram yang lazim berlaku dalam masyarakat. Karya yang mencerminkan realiti akan memberi impak nasihat lebih berkesan.

JAWAPAN UNTUK KOMEN DI ATAS 

Sewajarnya isu ini memerlukan huraian dan penulisan lebih jitu serta panjang. Namun secara ringkas. Ia mungkin tidak jitu dengan hujah dan komprehensif, namun diharap mampu memberi gambaran am berkenaan isu ditanyakan.

1. Pembaca boleh terus memberi pandangan, cuma jangan terlalu muktamad berasakan bahawa kita dan tafsiran kita dalam hal sebegini akan sentiasa lebih tepat daripada pihak berkelayakan (berilmu) yang lain.

2. Sejauh mana kebenaran kenyataan bahawa ada ‘ustaz’ yang menghalalkan. Kenyataan sebegini perlu dihindar kerana pasti tiada seorang ustaz pun yang akan menghalalkan yang haram.

Cuma apa yang ada mungkin, ‘ustaz’ yang terbabit melihat manfaat melebihi mudarat. Dia mungkin tersilap, tetapi belum muktamad dia silap kerana sememangnya di dalam Islam ada konsep ‘Tadarruj’ iaitu beransur ke arah kebaikan.

Seperti orang baru masuk Islam, kita tidak wajar hendak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik dengan mewajibkan segala penunaian kewajipan agama dalam tempoh sehari. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia satu proses.

APA ITU TADARRUJ? Tadarruj adalah proses pembaikpulihan yang dibuat secara beransur-ansur. Hadis Rasulullah SAW: “Apabila aku perintahkan dengan sesuatu perintah, maka perbuatlah kamu sedaya upayamu, jika aku larang sesuatu perkara, jauhilah ia.” 

At-Tadarruj (beransur-ansur) juga lebih utama daripada membuat perubahan mendadak. 

Berkata Khalifah Umar Ab Aziz RA kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan.

“Jangan tergesa-gesa, ya anakku, sesungguhnya Allah SWT mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekali gus (drastik) maka mereka meninggalkannya juga sekali gus, maka berlakulah fitnah.” 

Ulama kontemporari mempunyai pelbagai pendapat terhadap isu Tadarruj dalam pelaksanaan hukum. Secara umum, mereka terbahagi kepada dua kumpulan: 

1. Tidak bersetuju dan wajib melaksanakannya segera apa saja yang wajib tanpa tangguh: Ia pandangan Syed Qutb, As-Syahid Abd Qadir Awdah dan Dr Said Ramadhan Al-Buti.

2. Bersetuju dengan Tadarruj berperancangan ketika tiada atau kurang kemampuan: Mereka adalah Abul A’la al-Mawdudi, Dr Yusof Al-Qaradhawi dan Dr Muhd Abd Ghaffar Syarif. 

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan meletakkan beberapa syarat iaitu: 

1. Prinsip akidah tidak termasuk dalam bab Tadarruj ini.

2. Yakin mengenai kewajipan melaksanakan syariat Islam secara sempurna, dan wajib menyediakan suasana yang sesuai bagi melaksanakan tuntutan itu.

3. Bukanlah bermaksud Tadarruj, menjatuhkan hukuman kepada si lemah dan meninggalkan si kaya dan yang berpangkat.

MUDARAT DAN MANFAAT DRAMA ISLAMIK 

Proses ukuran manfaat daripada tema dan mesej drama kepada orang awam dan mudarat hasil pembukaan aurat serta sentuhan artis juga memerlukan kepada pertimbangan teliti.

Namun ia boleh saja membuka perbezaan ijtihad dan telahan yang membawa kepada satu pihak mengharam dan yang lain mengharus.

Mungkin saja pihak yang mengharuskan berpendapat ‘ketiadaan drama bermesej Islamik di pasaran lebih besar mudarat berbanding pembukaan aurat pelakon dalam drama Islamik’.

Atau mungkin ada yang berpandangan ‘kebaikan yang mampu disebarkan melalui mesej filem itu melebihi daripada tumpuan orang kepada aurat pelakon’.

Kita boleh tidak bersetuju atau sebaliknya. Sebagai panduan, Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini seperti berikut: “Menolak keburukan/mudarat diutamakan daripada memperoleh maslahat.” 

Itu apabila kedua-duanya sama berat. Namun jika satu daripadanya berat, maka perlu mengikut kaedah lain: “Kemudaratan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatan yang besar.” Kaedah itu mungkin diguna pakai oleh ustaz yang mengharuskan drama bermesej Islam tetapi mempunyai serba sedikit kecacatan akibat lakonan pelakonnya.

Seterusnya kaedah: “Tidak diambil kira keburukan yang terputus-putus dalam usaha meraih kemaslahatan yang kekal dan berterusan.” “Tidak harus meninggalkan maslahat yang pasti kerana takutkan kemudaratan yang tidak pasti dan menurut andaian yang lemah.” Darurat yang disebut itu mungkin sukar untuk saya terima kerana ia kurang menepati takrif darurat. Selain itu, drama bukan satu perkara yang dianggap asasi, berbeza dengan perbankan yang sangat diperlukan oleh ramai.

KESIMPULAN 

Oleh itu,pertimbangan proses Tadarruj mungkin perlu dalam hal ini. Namun kritikan boleh diteruskan kerana peningkatan kepada yang lebih baik sentiasa memerlukan kritikan membina.

Jauhi kritikan menyesat dan menghentam. Jauhi juga tuduhan ustaz yang menyokong menghalalkan yang haram dan sepertinya.

Jika benar hujah Tadarruj digunakan dan mesej dakwah disasarkan, pihak pengkarya drama Islam mesti sentiasa berusaha meminimumkan atau meniadakan terus unsur yang tidak menepati hukum Islam.

Akhir sekali, bawalah contoh karya Islam yang tidak memerlukan adegan tidak halal tetapi berdaya saing dan terkenal. Dengan itu, ia lebih memudahkan penerbit dan pengarah untuk mendapat gambaran.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga