Meneladani Sifat Pemaaf Nabi Yusuf a.s

PENDERITAAN Nabi Yusuf bukan sedikit. Ia melibatkan derita fizikal dan luka jiwa. Hanya kerana ‘hasad cinta’ ayahanda mereka, Yusuf diperlakukan sedemikian rupa. Jika tidak kerana abangnya mengorak langkah membuangnya ke dalam perigi, pastinya Yusuf tidak akan merana tubuh dan hati terpisah dari ayah tercinta selama puluhan tahun. Yusuf pasti tidak derita malu dijual sebagai hamba. Yusuf pasti tidak akan derita digoda wanita Mesir. Paling perit sekali, Yusuf pasti tidak akan derita dikurung seperti haiwan dalam penjara Mesir tanpa sebarang kesalahan.

Nah! Pada hari itu, Yusuf berdiri tegak di hadapan para penzalimnya. Kuasa penuh di tangan baginda. Boleh sahaja mereka itu dihumbankan ke dalam perigi, kemudian mereka dijual penuh hina sebagai hamba. Tidak cukup dengan itu, Yusuf juga boleh memenjarakan mereka selama mungkin sehingga mereput dalam penjara tanpa khabar berita. Tapi bukan begitu lakunya Yusuf. Allah merekodkan ‘kisah agung sikap pemaaf’ yang sangat indah di akhir surah Yusuf:

Allah berfirman, maksudnya: Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?” Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? “ Dia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Yusuf :89-90).

Taqwa dan sabar! Itulah dua kunci yang membantu Yusuf bertahan dan bebas daripada segala ujian dunia yang dihadapinya selama ini. Setelah identiti Yusuf terdedah, rasa bersalah mulai menerjah masuk ke dalam hati abang-abang baginda, lalu dengan malu dan insaf mereka memohon maaf. Membalas dendam ketika kuasa penuh di tangan? Tidak sama sekali! Subhanallah! Memang Yusuf manusia kuat yang sangat hebat kerana mampu memaafkan kesilapan saudaranya ketika ‘mampu membalas dengan penuh kuasa’. Bahkan baginda tanpa bertangguh terus memaafkan mereka:

Allah berfirman, maksudnya: Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”. “Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah, semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala lain yang mengasihani.” (Yusuf:91-92).

Sejurus selepas pembukaan kota Mekah, para Musyrikin Quraisy yang dahulunya banyak menyakiti Rasulullah SAW tunduk kehinaan berbaris di hadapan baginda. Hati mereka gentar menanti apakah hukuman yang bakal dijatuhkan kepada mereka. Lantas jiwa mereka digegarkan dengan sikap pemaaf baginda:

“Aku berkata (kepada kamu semua wahai penduduk Mekah) sebagaimana ucapan (saudaraku nabi) Yusuf: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah, semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala lain yang mengasihani.” – Dala’il a-Nubuwwah Imam al-Baihaqi.

Mustahil untuk kita dilantik menjadi nabi selepas Yusuf AS dan Muhammad SAW, namun kita mampu memiliki akhlak ‘pemaaf ketika mampu membalas’ seperti mereka. Insya Allah, akhlak itu akan menjadi punca pengampunan dosa kita yang bertimbun dan menjadi sebab kita dikumpulkan bersama para nabi di akhirat kelak:

Allah berfirman, maksudnya: Dan janganlah orang-orang yang berharta dan lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; “Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan dan melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Nur:22).

Memaafkan kesilapan orang memang sukar dan pahit, manakala membiarkan hati dilamun benci dendam pula sangat enak rasanya kerana ia sudah direncahkan dengan perisa adunan syaitan. Walaupun sedap rasanya, kesan sampingan kepada jiwa juga parah sepertimana parahnya kesan sampingan perisa tersebut kepada fizikal. Memaafkan manusia memang pahit, namun percayalah ia adalah ubat berkesan untuk menenangkan jiwa dan mendapat rahmat Allah. Pilihlah yang pahit lagi menyihatkan hati dan tinggalkanlah yang sedap tapi bakal merosakkan jiwa.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga