Institusi Keluaran Tunjang Lahir Generasi Muslim Unggul

Sebagai ketua keluarga peranan suami membentuk peribadi isteri dan anak dalam usaha melahirkan generasi Muslim

Gelaran suami ringan dipanggil atau disebut, namun tanggungjawabnya sangat berat. Sebagai ketua sebuah keluarga, suamilah yang menentukan hala tuju ahli keluarga sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Menurut Ibn al-Munzir, Saidina Ali ketika membicarakan ayat itu berpesan: “Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu mengenai kebaikan dan didiklah mereka.” Ayat itu secara tidak langsung menggesa suami supaya mempelajari fardu agama yang diwajibkan kepadanya dan mengajarkannya pula kepada ahli keluarga mereka.

Selain anugerah daripada Allah SWT, keluarga juga amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak semua tertanggung di pundak suami. Lantaran itu, suami memerlukan keupayaan ilmu mendasar, daya tahan iman yang utuh dan stamina amal yang teguh. Selain itu, mereka perlu ada kemahiran, kesenian dan kesabaran mendidik yang tinggi.

Apakah kita tidak mengimpikan untuk menjadi suami mithali yang mengikut acuan Baginda Nabi SAW? Menyedari hakikat ini, beberapa kewajipan perlu diambil berat dan dilaksanakan oleh ketua keluarga. Beri tarbiah Islam Memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan pentadbiran, ekonomi serta kewangan. Inilah yang menuntut kita menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada isteri dan anak supaya tidak ketinggalan. Namun, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi mestilah wujud.

Atas kesedaran itu, kita hendaklah berusaha sedaya mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dalam kalangan manusia ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan dalam kalangan mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Mereka itulah orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 200-202)

Lahir generasi baharu Muslim Institusi keluarga adalah tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia dari generasi ke generasi. Wujudnya kita sebagai Muslim sejati adalah hasil usaha generasi terdahulu. Andai keluarga itu benar-benar menurut acuan dan kehendak Islam yang tulen, ia akan menghasilkan generasi baharu Muslim yang unggul. Jika sebaliknya, keadaan keluarga porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat serta terbantut. Lantaran itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan (nasihat) kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syuara’, ayat 214)

Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anaknya. Difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi pelajaran kepadanya: Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Keharmonian dan ketenangan rumah tangga tidak akan wujud andai tali ikatannya rapuh dan reput. Ia perlu sentiasa diperbaharui dan diberi simpulan kukuh supaya erat bertaut. Tali itu adalah ikatan kasih sayang yang menghubungkan antara anak dengan ibu bapanya. Oleh sebab anak itu lahirnya kemudian dan tidak tahu apa-apa, maka mereka perlu diberikan bimbingan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa. Inilah juga yang ditekankan oleh Luqman al-Hakim supaya dapat membentuk anak yang taat kepada ibu bapa serta menjadi anak salih.

Menghidup dan membudayakan syariat Islam dalam rumah tangga. Apalah ertinya lampu yang indah, namun tidak boleh menerangi. Apalah makna ubat yang banyak, tetapi tidak boleh menyembuhkan. Itulah gambaran boleh diberikan kepada keluarga yang tidak diterapkan nilai Islam. Asas membudayakan Islam dalam rumah ialah dengan mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya. Sedarlah bahawa ia bukan suatu yang mudah, malah menuntut kesabaran tinggi. Demikian juga dengan perintah lain seperti menutup aurat, mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dengan perempuan.

Semua untuk menyelia perkembangan mereka supaya membesar berdasarkan fitrah jantina masing-masing dan menjadi Muslim yang salih dan salihah. Tiada kecelaruan jantina yang merosakkan identiti. Terap budaya ekonomi Islam dalam keluarga Antara perkara yang perlu kita budayakan dalam keluarga ialah pengurusan kewangan. Umpamanya mengajar anak menjadi amanah, berbelanja berdasarkan keperluan, bersedekah, mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan. Selain itu, perlu juga diterapkan pembudayaan ekonomi Islam seperti memilih makanan halal, barangan baik dan perkhidmatan patuh syariat. Semua perkara ini tidak akan dapat dibudayakan tanpa ada kerjasama daripada isteri.

Sehubungan itu, binalah keserasian dengan isteri, sentiasalah berbincang bersama dalam membentuk keluarga bahagia dan harmoni di dunia serta akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan zuriat (anak cucu) mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan (himpunkan) anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan kami tiada kurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah at-Thur, ayat 21)

Tarbiah anak sedar kelemahan, terima takdir

Galakkan anak sering bertanya sekiranya mereka tidak memahami sesuatu perkara.

Al-Quran membentangkan kepada kita seribu satu cerita yang tentunya sebagai petunjuk dan pedoman untuk dipelajari dan dihayati. Al-Quran menjadi syifa merawat jiwa adalah satu tarbiah kepada manusia dalam menjawab segala permasalahan duniawi pada hari ini.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah yang bersiaran pada Isnin, jam 5.15 petang, kali ini memfokuskan mengenai proses pendidikan kepada anak yang wajar disandarkan menerusi kisah Nabi Adam AS ini. Dalam al-Quran sendiri, sebanyak tujuh surah membicarakan kisah Nabi Adam AS. Masihkah kita mengingati mengenai babak Iblis yang tidak mahu sujud kepada manusia? Firman Allah yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Melalui kisah yang dibentangkan dalam al-Quran, kisah Nabi Adam AS ini wajar diteladani oleh ibu bapa. Pendidikan keimanan Katanya, penjelasan pertama adalah pendidikan melalui keimanan kepada perkara ghaibiyyat. Lihatlah mengapa Allah datangkan malaikat dan Iblis dalam kisah Nabi Adam AS? Pernahkah kita sendiri memberitahu anak mengenai asal usul kejadian manusia? Hakikat Nabi Adam AS yang dijadikan daripada tanah liat, kemudian ditiupkan roh kepadanya. 

Firman Allah yang bermaksud, “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekelian malaikat, semuanya sekali, melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir.” (Surah Saad, ayat 71 hingga 74)

Selain daripada itu, anak perlu diajar mengenai mengapa manusia pertama itu Nabi Adam AS? Jawapan bagi soalan itu tentulah Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Ilmu Tauhid menjadi asas kepada pendidikan anak. Ibu bapa perlu mendidik anak sejak dari kecil tentang perlunya mereka mengenali Allah SWT lebih daripada segala-galanya kerana Allah SWT memberikan akal kepada manusia untuk berfikir tentang sesuatu. Sifat dimiliki malaikat

Pendidikan kedua yang menjadi sandaran melalui kisah Nabi Adam AS ini adalah keimanan kepada malaikat. Hakikatnya, Allah SWT memasukkan kisah malaikat untuk menunjukkan kepada kita tentang bagaimana malaikat yang sentiasa taat itu menjelaskan elok kelakuannya. Malaikat adalah makhluk yang bukan sekadar baik dan sifar dosa, tetapi mereka juga sangat sensitif. Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Lihatlah betapa malaikat berani bertanya sekiranya mereka tidak tenang. Malaikat memohon penjelasan daripada Allah SWT untuk mengetahui tentang kelemahannya. Justeru, anak juga perlu diajar untuk sering bertanya sekiranya mereka tidak memahami dan mengetahui tentang sesuatu perkara itu. Pendidikan ketiga Hal seterusnya yang perlu difahami adalah tentang keimanan kepada qada dan qadar melalui kisah Nabi Adam AS. Bagaimana cara kita memandang sesuatu musibah yang berlaku. Kisah Nabi Adam AS mendidik jiwa agar tidak meletakkan setiap kesalahan kepada Allah SWT. Jika diperhatikan, kita fahami Nabi Adam AS mempunyai kesilapan, iaitu memakan buah khuldi (larangan dalam syurga), Iblis pun mempunyai kesilapan kerana enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Mereka diperintahkan turun ke dunia.

Bagaimana Iblis menerima takdir dan musibah tersebut? Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-A’araf, ayat 16)

Iblis menerima takdir tanpa memandang cara betul dan akhirnya bertindak menyesatkan manusia sedangkan Nabi Adam AS dicampakkan Allah ke muka bumi, menerima takdir sebagai penyebab mentaati perintah Allah SWT. Begitulah hakikat cerita dan kisah Nabi Adam yang perlu diambil pengajaran untuk mendidik anak pada hari ini. Pendidikan betul akan menghasilkan natijah betul dan tepat, tetapi sebaliknya jika memandang sesuatu perkara itu dalam keadaan negatif, maka hal tersebut akan memberikan keputusan mendukacitakan. Justeru, manusia perlu berperwatakan seperti malaikat dan menjauhkan diri daripada berperwatakan iblis.

Romantik cara Rasulullah s.a.w

RAMAI dalam kalangan pasangan menganggap sikap romantik tidak lagi penting atau perlu ditunjukkan dalam hubungan, lebih-lebih lagi selepas mencapai usia puluhan tahun bergelar suami isteri.

Malah, suami yang bersifat tegas dan bengis terhadap isteri dilihat seperti lebih dibanggakan serta dijadikan contoh kerana kononnya berjaya mendominasi sebagai ketua dalam keluarga.

Ini kerana, majoriti beranggapan sikap lemah lembut dan kasih sayang terhadap pasangan hanya sesuai untuk pasangan muda yang baru berkahwin atau memulakan cinta bagi mengenali pasangan masing-masing.

Sehinggakan apabila pasangan yang telah lanjut usia bersifat romantik terhadap pasangan masing-masing mereka dilihat janggal atau lebih tepat lagi seperti ‘membuang tabiat’.

Menyentuh mengenai perkara ini, romantik adalah sifat Rasulullah SAW dan apabila mana-mana pasangan melakukannya dengan tujuan mengamalkan sunah pasti akan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Walaupun baginda terkenal sebagai pemimpin yang hebat dan panglima perang yang digeruni oleh musuhnya, namun beliau berkata, Rasulullah SAW memiliki sifat kasih sayang dan romantis sebagai seorang suami terhadap isteri-isterinya.

Ketinggian peribadi Rasulullah SAW itu, tambahnya, membuktikan kepada umat Islam bahawa kemuliaan akhlak baginda yang sempurna sehingga tidak dapat dikesan cacat celanya walaupun dengan teman rapat iaitu isteri-isterinya sendiri.

“Antara kejayaan Rasulullah SAW dalam berdakwah adalah kerana akhlaknya yang mulia. Sehinggakan sesiapa sahaja yang melihat baginda buat kali pertama pasti akan terpikat dengan sikap baginda.

“Kemuliaan ini bukannya lakonan baginda sebagai Amirulmukminin ketika bersama sahabat, tetapi isteri-isteri baginda sendiri tidak dapat menyatakan kekurangan baginda ketika bersama mereka di rumah.

“Malah pelbagai kisah diceritakan oleh isteri Rasulullah SAW sendiri mengenai keperibadian baginda ketika di rumah,”

Antara sifat romantik Rasulullah SAW, adalah seperti bergurau senda dengan isteri dan menemani isterinya ketika keluar rumah.Sifat penuh romantik itu diceritakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

Malah, Nabi Muhammad turut membantu isterinya semasa menaiki kenderaan sebagaimana diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”.

KERJA RUMAH

Menjadi kelaziman di dalam sesebuah keluarga meletakkan tanggungjawab menguruskan hal rumah tangga dan tugasan di rumah kepada isteri.

Ini kerana, kebanyakan suami merasakan kerja rumah adalah tugas isteri sepenuhnya, manakala tanggungjawab suami pula adalah mencari nafkah, menyediakan tempat tinggal dan menyara keluarga.

Walaupun isteri itu juga turut bekerja, telah menjadi budaya terdapat segelintir suami yang tidak mahu membantu melakukan tugas yang sinonim bagi golongan wanita tersebut kerana dikhuatiri jatuh keegoan sebagai lelaki.

Umat Islam terutamanya golongan suami perlu menyedari bahawa melakukan kerja rumah adalah tugas suami, manakala isteri adalah sebagai pembantu.

“Hinggakan Rasulullah SAW melakukan sendiri kerja-kerja rumah. Baginda juga pernah menjahit sendiri pakaian yang koyak, tidak semata-mata mengharapkan isterinya melakukan kerja-kerja berkenaan.

“Rasulullah SAW juga tidak pernah merungut di hadapan makanan walaupun tidak ada apa yang ingin dimakan pada hari itu. Baginda hanya makan dua kali sehari iaitu makan tengah hari sebelum waktu Zohor dan makan malam selepas Asar sehingga sebelum waktu solat Maghrib,” jelasnya.

Tugas suami yang disepakati dalam al-Quran ialah memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri mengikut kemampuan.

Bagi nafkah zahir, ulama bersepakat ia melibatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manakala nafkah batin pula bukan sahaja menunaikan keperluan seksual tetapi ia adalah fokus kepada pasangan suami atau isteri yang mahu dikasihi, dimanjakan, ambil berat antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya isteri 100 peratus menguruskan hal ehwal rumahtangga jika ia diredai oleh isteri berkenaan.

LAKUKAN SUNNAH SELAGI TERMAMPU

Bagi menzahirkan kesetiaan dan kecintaan kepada Rasulullah SWT, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan sunah iaitu dengan mencontohi perbuatan yang diajar oleh baginda ketika hayatnya.

Saranan  kepada seluruh umat Islam di negara ini dalam usaha memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW ketika di akhirat kelak.

Mengamalkan sunah bukan suatu kewajipan, namun umat Islam digalakkan mencontohi akhlak dan perbuatan Rasulullah SAW sekadar termampu.

“Segala perbuatan dan sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan fitrah baginda sebagai seorang manusia biasa dan perbuatan itu dikenali sebagai sunah.

“Buatlah sekadar yang termampu dan ia amat digalakkan dalam Islam, tetapi janganlah sehingga terbeban atau tertekan untuk melakukan sesuatu yang tidak termampu.

“Hidup ini juga adalah fitrah, setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan bagi memperoleh keredaan daripada Allah SWT,

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga