Kasih Sayang Asas Penyatuan Ummah

Hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang mengimpikan kesejahteraan dan kemakmuran. Kita melihat bagaimana Islam mengajar umatnya berinteraksi sesama manusia dengan cara yang baik dan akhlak mulia. Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka.

Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji.

Islam menekankan bahawa menggembirakan orang lain adalah satu kewajipan. Kata-kata pujangga menyebut: “Lakukanlah kebaikan kepada sesiapa sahaja. Jika kebaikan dilakukan pada orang yang betul, maka benarlah kamu. Dan jika dilakukan kepada orang yang salah maka kamu juga sebahagian daripada kebaikan.” Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya dan kerana itulah manusia diciptakan. Firman Allah SWT: “Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (Surah Hud, ayat 118-119)

Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Oleh itu, kita melihat nama ar-Rahman adalah salah satu nama dan sifat Allah SWT. Mereka yang bersifat demikian, berhak mendapat rahmat daripada-Nya kerana menepati konsep acuan Allah SWT. 

Hadis Qudsi menyebut: “Jika kamu inginkan rahmat-Ku, maka kasihanilah makhluk ciptaan-Ku.” Kebanyakan sifat kesempurnaan datangnya daripada sifat rahmah (kasihan belas). Kita berlemah lembut, memuliakan orang lain kerana adanya sifat rahmah. Segala-galanya bertolak daripada sifat rahmah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah SWT kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri darimu.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Inilah prinsip Baginda SAW sehingga tiada seorang manusia pun merasa jemu dan sentiasa ingin menghampirinya. Inilah sifat yang perlu dicontohi supaya kita sentiasa disenangi dan dihormati masyarakat walau di mana kita berada. Kasih sayang erat hubungan Sifat kasih dan sayang mesti menjadi satu fenomena penting bagi umat mengembalikan mereka kepada penyatuan sebenar. Sifat kasih sayang akan mencetuskan perasaan gembira pada orang lain serta menghilangkan kesedihannya. 

Sudah menjadi sunnatullah, tidak semua manusia dilahirkan dalam keadaan sempurna. Kelompok yang tidak sempurna ini atau orang kurang upaya (OKU) adalah sebahagian daripada entiti masyarakat yang perlu dihormati kerana Islam tidak pernah membelakangi mereka. OKU dan orang normal adalah sama dari sudut ibadah serta kedudukan di sisi Allah SWT dan mereka juga ditaklifkan dengan kewajipan sama. Mereka sentiasa dilayan oleh Allah SWT sebagai seorang hamba, turut diraikan ketika solat lima waktu sebagai menjaga kepentingan mereka. 

Sabda Baginda SAW: “Apabila kamu menjadi imam pada solat jemaah, maka ringankanlah bacaan di dalam solat dengan tidak memanjangkan bacaan. Ini kerana mungkin dalam kalangan kamu ada mereka yang sakit, lemah, cacat atau orang tua.” (Riwayat Nasai’)

Kehadiran mereka yang kurang upaya adalah rahmat kepada orang lain untuk mensyukuri nikmat kesempurnaan dikurniakan kepada mereka. Bahkan, mereka berpeluang meraih ganjaran apabila menghulurkan bantuan kepada yang lemah. Kita juga harus sedar kesabaran yang ada di jiwa OKU akan memudahkan mereka mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak berbanding kita yang sempurna. 

Ibnu Qayyim berkata, orang beriman akan melihat wajah Allah SWT kerana ia adalah kemuncak kepada kerinduan penghuni syurga. Beliau mentafsirkan mengenai ayat kelebihan yang diperoleh oleh ahli syurga adalah melihat wajah Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik, ada pahala yang baik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Yunus, ayat 25-26)

Kata-kata ‘tambahan’ di sini ditafsirkan sebagai melihat Allah SWT. Namun, mereka yang lemah diharuskan berdoa kepada Allah SWT bagi menghilangkan kekurangan, tetapi kesabaran yang dapat dijelmakan dalam jiwa adalah yang terbaik kerana ganjarannya sangat lumayan.

Pernah datang seorang lelaki yang cacat penglihatannya kepada Baginda SAW dan meminta Baginda mendoakan untuknya supaya penglihatannya kembali pulih. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu mahu aku akan mendoakan untukmu dan jika tidak, kamu boleh bersabar dan ia adalah baik bagi kamu. Jawab lelaki itu, baiklah aku akan bersabar.”

Demikian juga seorang wanita yang cacat bertemu Baginda SAW untuk didoakan. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu bersabar, balasannya adalah syurga. Jawab wanita itu: Baiklah aku akan bersabar wahai Rasulullah demi syurga yang abadi.”

Setiap umat miliki kehebatan Sesungguhnya kekuasaan Allah SWT tiada batasan dan setiap manusia ciptaan-Nya mempunyai kelebihan tertentu. Mungkin dilihat sebagai kelemahan pada satu sudut, tetapi dari sudut yang lain, mereka lebih menyerlah daripada orang yang sempurna. Malah, ada yang berkebolehan luar biasa sehingga mengatasi mereka yang sempurna.

Justeru, golongan kurang sempurna ini mestilah diangkat kerana ada antara mereka yang berkebolehan. Inilah yang dilaksanakan Baginda SAW kepada Ibnu Ummi Maktum sebagaimana hadis daripada Anas Bin Malik: “Bahawasanya Baginda SAW pernah melantik Ibnu Ummi Maktum bagi menggantikan Baginda mentadbir Kota Madinah sebanyak dua kali.” (Riwayat Abu Daud)

Kesatuan umat bertolak daripada sifat Allah SWT itu arrahim dan dengan sifat itulah manusia dapat menjelmakan sifat terpuji lain sehingga diangkat oleh Allah SWT sebagai hamba yang mulia disisi-Nya.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga