Pendidik Mesti Hidupkan Budaya Islam Di Sekolah

Guru berperanan menghidupkan suasana beragama di kalangan pelajarnya.

Dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ia suatu tugas yang harus dipikul oleh seluruh ahli masyarakat. Apa pun, proses menyediakan suasana beragama (iklim dini) juga sebenarnya menyediakan persekitaran yang menyokong usaha dakwah. Maka, sekolah adalah institusi pendidikan yang sangat memerlukan suasana beragama, khususnya bagi menyediakan anak dengan persekitaran kondusif untuk menyebarkan kebaikan.

Ahmad Zabidi Abdul Razak melalui artikel jurnalnya bertajuk Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran memberikan suatu analisis yang menarik. Analisis kajiannya menunjukkan, ciri sekolah agama menengah berkesan antaranya disebabkan pelaksanaan amalan hidup Islam dalam setiap pembelajaran dan pekerjaan, manakala pengamalan sifat muraqabah (merasakan Allah SWT sentiasa memerhati) dinyatakan menyokong ciri keberkesanan sekolah. Dapatan itu menerangkan perlunya hubung kait antara pelaksanaan amalan hidup Islam dalam menentukan keberkesanan dan kejayaan dalam hidup.

Mewujudkan amalan cara hidup Islam harus bermula dengan penerapan nilai agama pada persekitaran sekolah. 

Kesedaran kewujudan Allah SWT yang memerhatikan setiap tindakan akan memberi kesan kepada amalan seharian. Merasai konsep ihsan memungkinkan pelajar menyedari gerak lakunya diperhatikan Allah SWT. Dakwah di sekolah Usaha berdakwah di sekolah adalah usaha yang murni. Pengajaran dalam kelas semata-mata belum mampu untuk menerapkan nilai murni hidup beragama secara menyeluruh. Justeru, program dakwah sama ada secara rasmi atau tidak tetap memainkan peranan.

Selain itu, persekitaran yang baik juga penting dalam usaha menjana akhlak yang baik dalam kalangan murid sebagai memenuhi perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Dakwah dilaksanakan bagi memastikan Islam tersebar luas di seluruh muka bumi. Semoga usaha dakwah dapat melimpahkan rahmat-Nya, keamanan, kedamaian serta kemakmuran. Ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Surah Saba’, ayat 28)

Menurut Zakiah Ariffin menerusi kajian ilmiah sarjananya bertajuk Pembudayaan Iklim Dini di sebuah sekolah di Perak, pengetua dan guru berperanan penting membentuk serta menjana pelaksanaan iklim dini. Ini bermakna kepemimpinan pengetua mempunyai hubung kait dengan kesungguhan melaksanakan iklim dini di sekolah atau institusi pendidikan, manakala guru berperanan merancang dan melaksanakan pengisian dalam mengimplimentasikan iklim dini di sekolah.

Zakiah juga menambah, rendahnya penghayatan agama dan nilai murni dalam kalangan pelajar berpunca daripada kurangnya penekanan kepada suasana persekitaran yang Islami, termasuk program budaya ilmu, kesedaran ukhuwah Islamiah, keceriaan kawasan fizikal sekolah serta penghayatan Islam bersepadu.

Mahi Din melalui artikelnya bertajuk Iklim Dini di Sekolah dalam Jurnal Dakwah Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan, iklim dini merujuk kepada amalan dan kebiasaan seseorang atau masyarakat yang mengamalkan dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Ia termasuk menghayati akhlak mulia melalui suasana persekitaran.

Mohd Kamal Hassan dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu, menyatakan matlamat pendidikan Islam tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat. Suasana dan kesedaran beragama dapat diwujudkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran, oleh itu iklim dini secara tidak langsung dapat diwujudkan melalui penganjuran program dakwah seperti Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Ihya’ Ramadan dan lain-lain.

Poster dan papan tanda doa, tazkirah, selawat dan adab Muslim mampu memberikan kesan terhadap amalan hidup beragama di sekolah. Kempen kesedaran menutup aurat, senyum dan salam bakal mewujudkan suasana harmoni dan Islami. Selain itu, pengajaran merentas kurikulum juga boleh diamalkan seperti menghubungkan kejadian alam dan atmosfera dengan kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta dalam pengajaran sains untuk meningkatkan kesedaran aspek tauhid kepada pelajar. Malah, banyak lagi aspek pengajaran yang boleh mewujudkan kesedaran beragama seperti pengajaran nilai dalam mata pelajaran sivik, kajian tempatan, Bahasa Malaysia dan lain-lain.

Peranan ini dipikul oleh semua guru dan pendidik, bukan hanya dipertangungjawabkan kepada guru Pendidikan Islam semata. Gaya hidup Islam di sekolah Ustaz dan ustazah harus mengambil inisiatif untuk menerajui usaha membentuk persekitaran serta gaya hidup Islami di sekolah. Budaya hidup Islami juga boleh diterapkan di rumah oleh ibu bapa membina budaya positif dan diterapkan terhadap pembinaan jati diri serta akhlak anak. 

Budaya positif ini akan diteruskan kesinambungannya dengan kewujudan suasana Islami di sekolah. Usaha ini juga perlu dibantu oleh masyarakat serta media untuk mewujudkan persekitaran dan gaya hidup beragama kerana pembinaan modal insan yang kental akidah dan jati diri harus dijadikan keutamaan demi mencipta kelompok pemimpin negara pada masa akan datang. Kita perlu menyokong usaha membina suasana beragama di sekolah untuk menyemai benih kebaikan dalam hati anak. Baik guru mahupun pegawai di kementerian perlu berjiwa besar dalam mengangkasakan Islam sebagai agama yang unggul.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga