Elak Jadi Muflis Akhirat

SETELAH hampir setiap hari bertungkus lumus bekerja melakukan pelbagai tugas bagi menambah pendapatan, namun secara tiba-tiba diisytiharkan muflis atau jatuh bankrap. Apa perasaan anda? Pasti ia merupakan perkara paling digeruni oleh setiap individu.

Ini kerana, segala usaha yang dilakukan bagi mengejar impian dan memperoleh kesenangan hidup di dunia itu akhirnya hilang begitu sahaja kerana kecuaian atau kesilapan diri sendiri dalam menguruskan kewangan.

Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan selagi masih bernyawa, pelbagai langkah boleh dilakukan bagi memperbaiki kekhilafan tersebut demi masa depan diri sendiri dan juga tanggungan masing-masing.

Jika muflis dunia dianggap membimbangkan, hakikatnya muflis di akhirat lebih berbahaya kerana tidak mempunyai peluang kedua untuk mengubah hala tuju kehidupan akhirat sama ada syurga atau neraka.

Begitulah ditekankan oleh ulama terkemuka, Habib Umar Muhammad al-Hafiz ketika menyampaikan ceramah dalam program Kembara Dakwah di pekarangan Jakel Mall, Kuala Lumpur yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam daripada seluruh negara.

Beliau berkata, ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” – Riwayat Muslim

Mengulas lanjut hadis Rasulullah SAW tersebut, pemegang ranking ke-28 bagi tokoh Muslim berpengaruh oleh buku 500 Most Influential Muslim itu berkata, umat Islam perlu menjauhi diri daripada sikap suka memburuk dan melabelkan orang lain dengan panggilan negatif.

“Sebagai Muslim, kita adalah bersaudara. Sifat suka memburuk-burukkan orang lain adalah satu daripada punca sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Segala pahala yang dilakukan sebanyak-banyaknya akan diberikan kepada orang dikejinya itu dan jika masih kurang, dosa orang itu pula perlu ditanggung,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya umat Islam digalakkan untuk bersifat berlapang dada dalam berdepan dengan sesuatu perbezaan sama ada pandangan, pegangan atau cara hidup.

Ia tambahnya kerana, orang yang sering didakwa salah tidak semestinya salah, begitu juga mereka yang gemar melabelkan orang lain salah tidak semestinya sentiasa betul dan tepat di sisi Allah SWT.

“Jika kita tidak bersetuju dengan seseorang itu maka abaikanlah apa yang mereka lakukan. Jika benar salah, maka tegur dengan berhikmah, jangan pula diburuk-burukkan, sebaliknya tinggalkan amalan yang mereka lakukan dan lakukanlah amalan kamu sendiri.

“Lebih-lebih lagi bagi golongan sahabat Rasulullah SAW dan juga ahli keluarga baginda, kerana merekalah yang membawa ajaran Islam daripada Rasulullah SAW kepada kita sehingga kini,” jelasnya.

Program Kembara Dakwah ke seluruh negara itu dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah sebelum diikuti solat hajat memohon perlindungan dan kesejahteraan Malaysia dan zikir sebelum diakhiri solat Isyak berjemaah.

Sementara itu, baru-baru ini lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia membanjiri Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat bagi menghadiri jelajah Kembara Dakwah Habib Umar di Johor Bahru, Johor.

JAUHI GOLONGAN TAGHUT

Dalam pada itu, Habib Umar berkata, umat Islam turut dinasihatkan agar tidak mengikut jejak sifat golongan yang kufur terhadap perintah Allah SWT atau dikenali sebagai Taghut.

“Kita perlu membersihkan diri daripada dosa dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya jangan sesekali mengingkari Allah SWT dengan mengikuti jejak golongan Thagut.

“Peliharalah mata daripada melihat perkara-perkara yang dibenci oleh Allah SWT, elak daripada melayari laman web yang bertentangan dengan syariah yang menjadi medium penyebaran fahaman golongan Thagut ini,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga