Anak Boleh Gembirakan Roh Ibu Bapa

Kelompok manusia yang kufur kepada Allah SWT, siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah al-Ghafir, ayat 46)

Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung berwarna hitam, berulang-alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, berkata perkara kedua yang diperlihatkan ialah amalan orang yang hidup kepada roh orang Mukmin yang ketika itu sedang berada di Illiyeen melalui saat indah dalam keadaan tertentu. Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal kalian itu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kalian yang sudah meninggal dunia. Jika amal itu baik, mereka akan berasa gembira, dan jika sebaliknya mereka akan memohon: Ya Allah jangan kamu matikan mereka sehingga Kamu berikan petunjuk kepada mereka.”

Elak khianati orang meninggal dunia

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitab Nawadir al-Usul, Abdul Ghafur Ibnu Abdul Aziz menuturkan bahawa ayahnya pernah menerima riwayat daripada datuknya dan menceritakan Rasulullah SAW bersabda: “Amal perbuatan itu diperlihatkan pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah, manakala amalan nabi serta ibu bapa mereka diperlihatkan pada Jumaat.”

Baginda SAW juga berpesan supaya jangan sekali-kali melakukan khianat kepada orang yang telah meninggal dunia dengan amalan buruk dan keji. Alangkah sedih dan kecewanya orang yang meninggal dunia apabila melihat tingkah laku kita yang melanggar syariat Allah SWT. Selain itu, antara perkara yang dapat membantu kita menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia ialah dengan menyambungkan silaturahim. 

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Uthman Ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya: “Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash. Kemudian dia berangkat dan meminta izin supaya dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian bertanya bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya, sama ada baik atau tidak. Lalu dijawab: “Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku. Kemudian dia berpesan: Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash.”

Pada ketika itu Amru bin Ash sudah meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya: “Apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar mengenai orang yang masih hidup? Dia menjawab: “Ya. Tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang pada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika melakukan keburukan, dia akan berdukacita.”

Bunyi roh berterbangan seperti lebah

Rasulullah SAW menceritakan keadaan roh akan datang menziarahi sahabatnya yang telah meninggal dunia. Di dalam keadaan roh yang kesunyian ketika berada di alam kubur, pada waktu itu mula terdengar bunyi roh yang berterbangan, seumpama bunyi lebah. Apabila disoal dari mana datangnya bunyi itu, malaikat menjawab itulah bunyi roh yang telah meninggal dunia sebelum ini. Sayup-sayup kedengaran dari jauh, roh itu berbicara sesama mereka dan menyatakan bahawa lebih baik roh yang baharu meninggal dunia itu dibiarkan beristirahat dahulu kerana dia mungkin keletihan. Namun roh itu berkata, dia tidak letih malah dengan bangganya memperlihatkan kain kapan dipakaikan kepadanya oleh anaknya yang salih ketika menyempurnakan jenazahnya. Sesungguhnya setiap mayat itu bergembira dengan kain kapan yang dipakaikan kepadanya. Kemudian roh yang lain akan datang bertanya keadaan anak mereka, sama ada mereka datang menziarahi ketika hidupnya. Jika roh yang baharu meninggal dunia itu menjawab dia tidak pernah diziarahi oleh anak dan kaum keluarga setelah ketiadaan mereka, roh itu akan berasa sangat sedih kerana mungkin sahaja anaknya tidak lagi menyambung silaturahim dan dihumban ke dalam neraka Hawiyah.

Apabila timbul persoalan bagaimana ingin melakukan kebaikan kepada mereka yang telah meninggal dunia terutamanya ibu bapa, suami atau isteri, anak serta keluarga terdekat kita, Abu Usaid al-Saidi berkata, “Ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari. Baginda menjawab: “Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. 

Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka. 

Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia. 

Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah. 

Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya.”

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga