Bahaya Strok Haba

Strok haba adalah antara penyakit yang biasa berlaku ketika cuaca panas melampau. Disebabkan peningkatan suhu sekeliling, strok haba atau heat stroke berisiko tinggi menyerang mereka yang mengalami peningkatan suhu badan mencecah 40.5 darjah Celsius.

Kebiasaannya, strok haba akan mengakibatkan tubuh badan manusia menghasilkan peluh secara berlebihan sehingga menyebabkan air dalam badan berkurangan. Selain itu, tubuh badan juga terdedah kepada dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma seterusnya kematian.

Antara mereka yang berisiko adalah warga emas, pesakit diabetes dan mereka yang mengalami masalah obesiti. Pada masa sama, strok haba juga berisiko menyerang haiwan peliharaan.

Tanda-tanda awal seseorang itu di serang strok haba ialah mengalami sakit kepala berdenyut, merasa mual dan muntah, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas, denyutan nadi menjadi pantas, otot lemah dan kejang, kulit kering dan kemerahan, sawan, pitam, serta tangan dan kaki menjadi sejuk.

Walau bagaimanapun, terdapat langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil antaranya mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas.

Selain itu, minum air dalam kuantiti yang banyak sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari. Di samping itu, elakkan daripada melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti di atas simen.

Strok haba boleh dielakkan jika kita mengelak daripada kerap terdedah dengan persekitaran luar dan mengikuti langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

PETUA MENGHADAPI CUACA PANAS

FENOMENA suhu panas melampau perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di rumah seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran beramai-ramai. 

SUHU panas yang berpunca daripada fenomena El Nino boleh memberikan kesan buruk kepada tubuh antaranya menyebabkan demam dan dehidrasi.

Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu minum air secukupnya dengan mengamalkan minum air masak sebanyak lapan gelas sehari untuk mengelakkan kesan dehidrasi.

Minum juga minuman isotonik yang boleh menggantikan garam dan mineral di dalam tubuh badan yang hilang akibat berpeluh. Namun elakkan minuman mengandungi gas.

Minuman mengandungi kafein dan gula perlu dikurangkan kerana boleh menyebabkan badan seseorang itu menjadi lesu dan tekak sentiasa berasa dahaga.

Kurangkan aktiviti luar sama ada kerana tujuan kerja atau beriadah serta banyak berehat di rumah bagi mengelakkan mengalami dehidrasi.

Dalam pada itu, fenomena suhu panas melampau perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di rumah seperti solat berjemaah dan membaca al-Quran beramai-ramai.

Jika ingin juga keluar berjalan pada waktu panas terik, kita digalakkan melindungi diri dengan menggunakan payung, topi atau losen pelindung sinaran ultralembayung (UV).

Selain itu, pakai pakaian longgar untuk memudahkan pengudaraan. Jangan pakai pakaian berwarna hitam kerana warna itu akan menyerap haba dan orang ramai digalakkan mengenakan pakaian terang yang boleh memantulkan haba.

BANYAK KHASIAT POKOK KELAPA

KETIKA musim panas sekarang yang berpunca daripada fenomena El Nino, seelok-eloknya minum air yang banyak bagi mengelak badan kita mengalami masalah kekurangan air. Salah satu caranya adalah dengan meminum air kelapa muda.

Selain air kelapa muda yang dapat menghilangkan dahaga, terdapat banyak bahagian lain pada pokok itu yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Akar kelapa yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk mengubati penyakit kelamin. Ada penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Mersing, Johor meminum air rebusan akar kelapa yang telah dijemur di bawah panas matahari untuk melegakan cirit-birit.

Akar pokok itu juga boleh digunakan untuk mengubati demam panas, masalah keputihan, melawaskan buang air kecil, jangkitan paru-paru, masalah hati dan rawatan pendarahan.

Dalam pada itu, air kelapa muda yang diminum mampu dijadikan penawar racun, meredakan cirit-birit, mengubati demam panas, melawaskan buang air kecil dan air besar. Terdapat juga dakwaan air kelapa muda yang dicampur dengan beberapa bahan lain mampu mengubati penyakit batu karang.

Air kelapa muda juga boleh diminum dengan ditambah perahan air limau nipis bagi menghilangkan keletihan. Minuman itu boleh dicampur dengan ais supaya terasa lebih segar.

Meminum air kelapa muda turut mampu mengubati jangkitan cacing pada anak-anak dengan menambah sedikit jus asam limau dan satu sudu minyak zaitun. Minumlah tiga kali sehari.

Air buah kelapa hijau jika dibandingkan dengan kelapa jenis lain mengandungi banyak tanin atau bahan antiracun yang paling tinggi. Komposisi kandungan kimia lain yang terdapat dalam air kelapa ialah asid askorbik atau vitamin C, protein, asid lemak Omega 3, karbon terhidrat dan kalsium.

Mineral yang terkandung dalam air kelapa ialah zat besi, fosforus dan gula yang terdiri dari glukosa, fruktosa serta sukrosa.

Minyak kelapa yang disapu pada gigi atau gusi yang sakit mampu mengurangkan kesakitan begitu juga dengan kulit bermasalah. Bahan itu juga akan menjadikan rambut subur, hitam dan berkilat.
Santan kelapa yang diminum mampu mengubati masalah muntah-muntah, batuk berdarah, busung, demam panas dan penawar racun.

Isi buah kelapa pula mempunyai banyak khasiat. Isi buah kelapa yang sudah tua mengandung kalori yang tinggi sebanyak 359 kal per 100 gram, kelapa setengah tua sebanyak 180 kal per 100 gram dan kelapa muda mengandung 68 kal per 100 gram.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga