Anggota Badan Buktikan Kebenaran Atas Amalan Dunia

APABILA berada di alam barzakh, kita akan mula menjalani kehidupan alam malakut yang sama sekali berbeza suasananya daripada alam dunia. Manusia akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu golongan orang soleh yang rohnya berada di tempat mulia dan satu lagi orang talih (sesat) di tempat yang keji.

Tetapi keadaan pada Hari Kiamat lebih menggerunkan dan menggemparkan kerana tidak akan ada seorang manusia pun terlepas daripada dihisab ketika berada di padang Mahsyar. Riwayat daripada Abu Hurairah, menceritakan pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat, “Ya Rasulullah, bolehkah pada hari akhirat nanti kita melihat wajah Allah SWT? Baginda menjawab: Pernahkah kamu melihat matahari dengan jelas pada waktu siang, dalam keadaan yang cerah dan tidak berawan. Atau pernahkah kamu melihat bulan pada malam hari di dalam keadaan yang terang, cerah dan tidak berawan? Lalu dijawab oleh sahabat bahawa mereka dapat melihatnya. Kemudian Rasulullah berkata: Kamu akan dapat melihat wajah Allah di hari akhirat nanti seperti mana kamu dapat melihat matahari dan bulan itu, setelah kamu dihitung dan dihisab setiap amalan pada hari kiamat nanti.”

Saksi buktikan kebenaran

Baginda kemudian menceritakan, dibawa seorang hamba di padang Mahsyar di hadapan khalayak orang ramai dan ditanya oleh Allah: “Tidakkah Aku telah memberikan pendengaran kepada kamu dahulu, penglihatan, harta dan anak kepada kamu? Bukankah telah Aku permudahkan haiwan ternakan dan ladang pertanian dalam hidup kamu? Bukankah Aku telah memudahkan bagi kamu dengan menjadikan dalam kalangan kamu pemerintah, dan satu perempat daripada hasil ternakan dan pertanian diambil oleh pemerintah? Adakah kamu tidak pernah berfikir bahawa kamu akan menemui Aku pada hari ini? Dijawab oleh hamba itu: Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu, aku terlalu sibuk dan tidak terfikir akan adanya hari di padang Mahsyar.

Lalu Allah SWT berfirman: Hari ini Aku tidak akan mempedulikan kamu sebagaimana kamu tidak mengingati Aku. Kemudian dibawakan hamba yang kedua, disoal oleh Allah SWT perkara sama dan hamba itu menjawab: Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu aku terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.”

Perkara itu berulang kepada hamba lain di hadapan Allah SWT sehingga tiba giliran seorang hamba yang disoal oleh Allah SWT, dia menjawab: “Ya Allah, ketika hidup di dunia dahulu, aku adalah seorang yang beriman dengan kitab-Mu dan Rasul-Mu. Aku mendirikan solat, bersedekah dan berpuasa, kemudian aku melakukan kebaikan semampuku. Kemudian Allah SWT berkata: Sekarang Aku bawakan saksi untuk membuktikan kebenaran kata-katamu. Hamba itu bertanya siapakah yang akan menjadikan saksi kepada dirinya? Lalu Allah SWT menutup mulut hamba itu, dan memerintahkan seluruh anggota tubuh hamba itu untuk bercakap dan menceritakan amalan yang pernah dilakukannya dahulu.

Begitulah keadaan yang akan dilalui manusia seperti dijelaskan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm. Beliau kemudian menerangkan firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf, ayat 45 yang bermaksud: “Dan bertanyalah kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain Allah Yang Maha Pemurah.”

Di padang Mahsyar nanti Allah SWT akan bertanya sama ada betul atau tidak seseorang itu beriman kepada-Nya dengan membuktikannya di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW juga sering mengingatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi hari kita akan disoal apa yang dilakukan ketika hidup di dunia.

Empat perkara dihisab

Malah, telapak kaki anak Adam ini tidak akan tergerak di padang Mahsyar sehingga selesai disoal oleh Allah SWT mengenai empat perkara iaitu ke mana manusia menghabiskan umurnya, bagaimana menggunakan tubuh badan dan jasad sehingga hari tua. Ketiga, adakah mengamalkan ilmu yang telah diperoleh dan keempat mengenai harta benda dari mana sumbernya dan ke manakah ia dibelanjakan.

Ulama berpendapat Hari Kiamat juga dikenali sebagai hari penyaksian ditafsirkan kepada tiga iaitu kesaksian Rasulullah SAW terhadap amalan umatnya, penyaksian alam sama ada bumi, langit dan segala berada di dalamnya serta penyaksian anggota badan manusia terhadap semua yang dilakukannya

Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar

UKURAN kejayaan hidup manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika berada di Padang Mahsyar nanti.

Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun berpakaian. Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan menjadi rendah serta hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu. Orang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh ketakutan, malah syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.

Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap. Langit berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia berada dalam kebingungan. Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya didengari semua makhluk di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan).” (Surah al-Maarij, ayat 8-9)

Hamba soleh diasingkan Abu Hamid dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua makhluk itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-Nya yang soleh ke bumi lain. Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang serta burung ke bumi kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak bercahaya.

Selepas itu malaikat berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan antara bumi pertama dan kedua. Seterusnya, Allah SWT memerintahkan malaikat di langit kedua hingga ketujuh turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak seorang pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu. Bumi menjadi sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit antara satu sama lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang merimaskan.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menyambung perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka. Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh.

Di Padang Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000 tahun. Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil ketakutan.

Minta bantuan Nabi

Di Padang Mahsyar manusia berada dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta berjumpa Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat membantu. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud sambil menangis dan berkata: “Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku.”

Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis. Rasulullah SAW memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar. Selepas itu barulah Allah SWT menggerakkan Arasy dan umat manusia mula diadili.

Tiada ulasan:

Doa Moga Dibinakan Rumah Di Dalam Syurga

Doa Mohon Rezeki dan Ilmu

Hadis Perumpamaan Orang Yang Membaca Al-Quran

Halwa Telinga